Abu Zar berkata bahawa saya bertanya kepada Rasullulah s.a.w., “Berapa banyakkah kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t? Baginda s.a.w menjawab, “Seratus suhuf (kitab-kitab kecil) dan empat buah kitab-kitab. Lima puluh suhuf diturunkan kepada Shith a.s, tiga puluh kepada Idris a.s, sepuluh kepada Ibrahim a.s dan sepuluh kepada Musa a.s sebelum Taurat. Selain daripada itu, empat kitab iaitu Taurat, Injil, Zabur, dan Al-Quran yang suci telah diturunkan oleh Allah s.w.t. Abu Zar bertanya lagi, “Apakah yang terkandung dalam suhuf-suhuf yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim a.s? Rasulullah s.a.w menjawab, “Suhuf-suhuf itu mengandungi peribahasa-peribahsa (nasihat), misalnya, “Wahai raja yang berkuasa dan bongkak, Aku tidak mengutuskan kamu hanya untuk mengumpulkan harta. Aku mengutuskan kamu untuk menghalang aduan orang yang teraniaya daripaaada sampai kepadaKu. Kamu hendaklah menyelesaikan aduan itu terlebih dahulu kerana Aku tidak menolak aduan orang yang dizalimi, walau dia seorang yang kafir sekalipun.”
Sambungan penerangan Rasulullah s.a.w kepada Abu Zar, “Dalam suhuf-suhuf itu juga disebutkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab seseorang yang waras (selagi dia tidak hilang akal) untuk membahagikan masanya kepada tiga bahagian. Sebahagian untuk beribadat kepada Allah s.w.t, sebahagian untuk bermuhasabah (menghitung diri) dengan merenungkan sebanyak mana amalan baik yang telah dilakukannya dan sebanyak mana amalan buruk yang telah dilakukannya. Sebahagian lagi adalah untuk mencari nafkah yang halal. Mustahak juga bagi orang yang berakal untuk menjaga masanya, sentiasa berfikir untuk memperbaiki keadaannya dan menjaga lidahnya daripada percakapan-percakapan yang sia-sia serta tidak berfaedah. Sesiapa yang sentiasa bermuhasabah terhadap percakapannya, nescaya lidahnya akan kurang mengeluarkan perkataan yang tidak berfaedah. Seseorang yang berakal janganlah bersafar melainkan untuk tiga tujuan iaitu untuk mencari nafkah ataupun untuk mencari kerehatan yang diharuskan.” Saya (Abu Zar) bertanya lagi, “Ya, Rasulullah, bagaimana isi kandungan yang terdapat dalam suhuf-suhuf yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s?” Rasulullah s.a.w bersabda, “Keseluruhan isi kandungan suhuf-suhuf itu ialah kata-kata nasihat. Contohnya, ‘Aku hairan dengan seseorang yang yakin akan kematiannya tetapi masih berseronok dengan sesuatu perkara ( ini adalah kerana, seseorang yang yakin bahawa dia akan mati misalnya kerana telah dihukum gantung, tidak lama lagi akan menaiki tali pergantungan maka dia tidak mungkin dapat berseronok dengan apa-apa perkara sekalipun). Aku hairan dengan seseorang yang yakin tentang kematiannya tetapi masih dapat berketawa. Aku hairan dengan dengan seseorang yang memerhatikan musibah-musibah, pertukaran-pertukaran dan perubahan mendadak yang berlaku di dunia ini setiap masa tetapi masih berasa tenang dengan kehidupan dunia. Aku hairan dengan seseorang yang percaya dengan takdir tetapi masih berdukacita dan bersusah hati. Aku hairan dengan orang yang percaya bahawa tidak lama lagi dia akan dihisab tetapi masih tidak melakukan amalan yang baik.’ Abu Zar berkata berkata lagi, “Ya Rasulullah, nasihatilah saya.” Pertama-tamanya Baginda s.a.w menasihati beliau supaya bertakwa. Baginda s.a.w menerangkan bahawa takwa adalah asas dan tunjang segala perkara. Abu Zar berkata lagi, “Tambahkanlah lagi (nasihat) untuk saya.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Hendaklah kamu mengambil berat untuk membaca al-Quran dan berzikrullah, kerana membaca al-Quran menjadi nur di dunia ini dan bekalan untuk akhirat.” Abu Zar terus meminta tambahan nasihat dan Baginda s.a.w memberitahu, “ Elakkanlah diri daripada banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati dan wajah akan hilang seri.” (Banyak ketawa memudaratkan rohani dan jasmani). Abu Zar meminta untuk ditambah lagi. Rasulullah s.a.w bersabda, “Teruskan jihad kerana jihad adalah ‘rohbaniah’ umatku.” (rohbaniah adalah amalan rahib iaitu orang di kalangan umat terdahulu yang telah memutuskan semua hubungan keduniaan dan hidup hanya untuk Allah s.w.t)
Abu Zar meminta nasihat lagi dan Rasulullah s.a.w bersabda, “bergaullah dengan orang miskin dan fakir, jadikanlah mereka sahabatmu dan duduklah bersama mereka,” Apabila Abu Zar meminta nasihat lagi, Rasulullah s.a.w pun bersabda, “Lihatlah orang yang rendah daripada kamu (supaya amalan bersyukur menjadi kebiasaanmu) dam jangan melihat mereka yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, jika tidak mungkin kamu akan memandang rendah nikmat-nikmat Allah s.w.t ytang telah diberikan kepadamu.”
Apabila Abu Zar meminta nasihat lagi, Rasulullah bersabda, “Hendaklah melihat kesalahanmu sendiri supayaa menjadi benteng dirimu daripadaa mencaci orang lain dan jangan berusaha untuk mengambil tahu keaiban orang lain sedangkan kamu sendiri terlibat dengan perkara itu. Untuk sabitkan kamu bersalah sudah memadai dengan kamu mengambil tahu keaiban orang lain sedangkan keaiban itu terdapat pada dirimu sendiri, walaupun kamu tidak menyedari keaiban itu. Kamu akaan bersalah juga sekiranya kamu menuding jari ke arah keaiban orang lain sedangkan kamu sendiri melakukan keaiban itu.” Setelah itu Rasulullah s.a.w menepuk dada Abu Zar dengan tangannya lalu bersabda, Wahai Abu Zar, tidak ada kebijaksanaan yang menyamai perancangan yang baik dan tidak ada takwa yang menyamai meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan dan tidak ada kemuliaan yang dapat menandingi akhlak yang mulia.”
(Dalam menterjemahkan hadith ini, kefahaman dan maksud lebih diutamakan daripada makna perkataan demi perkataan dari segi bahasa).
Dipetik daripada Fadhilat Al-Quran - Himpunan Kitab-kitab Fadhail Amal.
Dikarang Oleh: Syaikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment